ANTARA lelaki yang ditahan anggota penguat kuasa AADK di dalam kebun kelapa sawit di Sidam, Sungai Petani, hari ini. FOTO Ihsan AADK
ANTARA lelaki yang ditahan anggota penguat kuasa AADK di dalam kebun kelapa sawit di Sidam, Sungai Petani, hari ini. FOTO Ihsan AADK
Nor Farhani Che Ad


“SAYA sanggup berbasikal, kerana kalau tumpang orang, depa minta 'tong' (kongsi) sikit pulak. Kalau lewat sat (sekejap) lagi terlepaslah bekalan tu, sangaplah (kempunan) jadinya."

Begitu kata lelaki berusia 35 tahun yang sanggup berbasikal sejauh tiga kilometer (km) dari rumahnya di Kampung Lubuk Saga, Sungai Petani ke sarang penagihan bagi melepaskan gian.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Shamsuri Yusoff berkata, lelaki berkenaan antara 10 individu berusia 25 hingga 53 tahun yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda dalam serbuan di kebun kelapa sawit dekat Sidam, Sungai Petani bermula jam 8 pagi hari ini.

“Operasi yang membabitkan anggota penguat kuasa dan keselamatan AADK Daerah Kuala Muda dibuat selepas menerima aduan orang awam sebelum risikan dijalankan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua yang ditahan positif dadah jenis opiat dan mereka dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Katanya, operasi yang dijalankan diteruskan dengan program pembersihan kawasan penagihan yang disertai oleh beberapa agensi lain seperti Environment Idaman (E-Idaman) Sdn Bhd serta mendapat kerjasama penduduk setempat.

“AADK amat mengharapkan masyarakat membantu dalam usaha mewujudkan sebuah komuniti sihat tanpa dadah di kawasan masing masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 7:36 PM