Mohd Rizal Abdullah


HASRAT lelaki berhibur di pusat hiburan, terbantut apabila dia cedera di belasah tiga lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Permyjaya, Miri, kelmarin.

Dalam kejadian 2 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun mendakwa ditumbuk dan diserang dengan kerusi oleh kumpulan terbabit setibanya mangsa ke pusat hiburan itu.

Sumber memberitahu NSTP, sebelum kejadian, mangsa menutup kepala menggunakan tangan kerana hujan renyai ketika menuju ke pusat hiburan itu.

Menurutnya, seorang lelaki lingkungan 40-an tiba-tiba bengang dan mempersoalkan perbuatan mangsa yang meletakkan tangannya di atas kepala.

"Mangsa terus ditumbuk sebelum melarikan diri ke dalam pusat hiburan itu.

Bagaimanapun, mangsa dibelasah pula dengan dua lelaki lain menggunakan kerusi," katanya.

Katanya, mangsa cedera di beberapa anggota badannya dan dihantar ke Hospital Miri oleh pekerja pusat hiburan itu.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung kejadian itu," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan itu, bagaimanapun, mangsa sudah menarik semula laporannya pada hari sama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 2:56 PM