LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Mohd Rizal Abdullah


TIDAK cukup meminta wang RM10, seorang lelaki turut memaksa tiga kakitangan wanita sebuah pusat kesihatan menanggalkan pakaian mereka dalam kejadian di Jalan Desa Indah, Permyjaya, Miri, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, suspek, 47, turut mengamuk dengan menggunakan kapak, malah bertindak membakar pusat rawatan itu sebelum ditahan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, siasatan mendapati suspek menceroboh masuk ke pejabat pusat rawatan itu sebelum meminta tiga mangsa berusia 20-an menyerahkan wang RM10.

Bagaimanapun, suspek dikatakan tidak berpuas hati lalu meminta mangsa menanggalkan pakaian, malah mengugut mahu membunuh mangsa jika permintaannya tidak dipenuhi.

"Ketiga-tiga mangsa berjaya melarikan diri mengakibatkan suspek mengamuk lalu bertindak membakar pejabat premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, lewat petang tadi.

Katanya, tindakan suspek berjaya dihalang orang awam dan turut cedera akibat dibelasah orang awam yang berang dengan kejadian itu.

"Sepasukan polis dihantar ke lokasi lalu menahan suspek sejurus menerima laporan berhubung kejadian," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah sehingga bertindak sedemikian.

"Seorang kakitangan wanita berusia 24 tahun turut mengalami sesak nafas akibat terhidu asap dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tudan untuk rawatan,” katanya.

Katanya, suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 9:43 PM