FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Poliana Ronnie Sidom


KANAK-kanak lelaki ditemui mati dipercayai terkena renjatan elektrik selepas dilaporkan hilang sejak pagi Selasa lalu ketika bermain di kawasan berhampiran rumah setinggan di Bandar Lee Tat, Sandakan.

Kanak-kanak warga asing berusia tujuh tahun itu ditemui pada 2 petang semalam di kawasan semak Lorong 9, Bandar Lee Tat dalam keadaan mayat sudah mengembang.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, polis menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada 6.30 petang Selasa lalu, bagaimanapun gagal menemui mangsa.

Katanya, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian bersama anggota bomba, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan pasukan perubatan Hospital Duchess of Kent sebaik dimaklumkan penemuan mayat kanak-kanak.

"Pemeriksaan mendapati mayat kanak-kanak itu mempunyai kesan terbakar di tapak kaki sebelah kiri dan disahkan meninggal dunia.

"Mayat sudah dicam oleh ahli keluarga berdasarkan pakaian dan siasatan lanjut tidak mendapati unsur jenayah atau kecederaan lain pada tubuh mangsa," katanya.

Mohd Azhar berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 9:45 AM