PEMILIK kebun nangka muda berkongsi rezeki dengan pengguna laluan  Kampung Parit Tegong. FOTO Facebook Geng Pontian
PEMILIK kebun nangka muda berkongsi rezeki dengan pengguna laluan Kampung Parit Tegong. FOTO Facebook Geng Pontian
Mohd Sabran Md Sani


“Semoga murah rezeki orang yang bersedekah di bulan baik ini.”

Status itu dimuat naik pemilik akaun Facebook (FB), Noni Yahay di FB Geng Pontian selepas menerima nangka percuma ketika melalui jalan Kampung Parit Tegong-Tenggayun, hari ini.

Malah, wanita itu turut menganggapnya sebagai hadiah Syawal.

Difahamkan nangka itu hasil kebun yang diusahakan usahawan tani dikenali Ahfu Ahfuu (nama Facebook).

Menerusi FB Geng Pontian, Ahfu Ahfuu mempelawa pengguna jalan raya mengambil nangka itu yang ditinggalkan di tepi jalan berserta papan tanda Nangka Sayur Free.

“Alhamdulillah. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

“Nangka sayur percuma di laluan Kampung Parit Tegong-Tenggayun, ambil ya,” katanya yang mahu berkongsi rezeki.

Dia juga tidak lokek untuk menambah nangka muda itu sekiranya habis kerana sememangnya mahu bersedekah.

“Ada rezeki kat pokok nanti saya letak lagi,” katanya membalas pertanyaan netizen menerusi FB Geng Pontian.

Selain Noni Yahay, netizen lain turut memuji usaha Ahfu Ahfuu dan berdoa supaya dia dimurahkan rezeki lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 10:23 PM