AHLI keluarga menunggu proses menuntut jenazah mangsa kemalangan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, malam ini. FOTO Omar Osman. Gambar kecil, Fakhrul Razi (kiri) dan Izahar.
AHLI keluarga menunggu proses menuntut jenazah mangsa kemalangan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, malam ini. FOTO Omar Osman. Gambar kecil, Fakhrul Razi (kiri) dan Izahar.
Omar Osman


“ARWAH adik sempat minta RM150 pada saya, dua hari lalu kerana dia tidak cukup wang untuk membeli baju raya.”

Begitu kata Umaizakuwan Khalit, 30, abang kepada Fakhrul Razi, 17, seorang daripada empat mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Baru Kupang-Grik berdekatan Kampung Tiak di Baling, hari ini.

Menurut Umaizakuwan, dia juga sempat bergurau dengan arwah apabila meminta dia membuat kerja-kerja rumah jika mahu wang itu sebelum menunaikan permintaan adiknya.

“Malam kelmarin, arwah adik bersama Izahar (Muhammad Izahar Rosli, 17) datang ke Sungai Petani dengan menaiki motosikal Yamaha LC135 milik rakannya itu dan mereka berdua tidur di rumah rakan lain kerana mahu pergi membeli baju raya bersama.

“Tengah hari tadi arwah adik dan Izahar balik bersama dengan rakan lain ke FELDA Bersia, Gerik, Perak selepas membeli sepasang baju Melayu berwarna ungu.

“Namun pada 3 petang tadi, saya terima panggilan daripada rakan beritahu adik dan rakannya meninggal dunia selepas motosikal mereka terbabit dalam kemalangan di Baling,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, malam ini.

Katanya, dia tidak sangka pertemuan pada dua malam lalu adalah hari terakhir bertemu dengan arwah.

“Arwah seorang yang ceria dan dia banyak membantu ayah dan ibu di rumah. Jadi hari raya esok tidak meriah tanpanya,” katanya.

Jenazah kedua mangsa akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam, Masjid FELDA Bersia, Gerik, malam ini.

NSTP hari ini melaporkan pemandu Toyota Vios Noor Azizi Kamarudin, 34, maut bersama anaknya, Mohd Ammar, 4, selepas terbabit dalam kemalangan yang turut mengorbankan Fakhrul Razi dan Mumammad Izahar.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Aidilfitri ini sudah hilang seri'

[UPDATE] 'Patutlah kami tunggu tak sampai, rupanya...'

Tragedi pilu menjelang 1 Syawal

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 10:39 PM