Siti Rohana Idris


Tumpat: Kerabu nipah bukan menu asing bagi penduduk Kelantan, tetapi sukar diperoleh kerana pokok nipah hanya tumbuh di pinggir sungai atau kawasan berpaya sahaja.

Berikutan itu, menu eksotik berkenaan hanya diusahakan penduduk yang tinggal di kawasan terbabit termasuk Nora Mohamad, 45, dari Pantai Baru, di sini.

Nora yang hampir 20 tahun menjual kerabu nipah berkata, juadah itu bukan sahaja laris pada di hari biasa, malah ditunggu-tunggu sepanjang Ramadan.

Menurutnya, penghasilan kerabu nipah tidak sukar kerana hanya menggunakan campuran bawang kisar, isi ikan selayang rebus, serbuk lada hitam, kerisik, gula, air asam, limau nipis, santan, bawang besar, bunga kantan, cili besar, daun kesum, hirisan mangga muda dan bahan utamanya adalah bunga nipah.

"Proses mencari bunga nipah agak sukar dan saya selalunya keluar berseorangan dengan mengemudi perahu berbekalkan sebilah pisau untuk memotong antara 10 hingga 20 batang bunga nipah.

"Sebaik dibawa pulang, proses mengambil umbut dari bunga nipah dibuat sebelum dicelur seketika dan kemudian diparut serta diperah untuk membuang airnya.

"Segala ramuan perlu dimasukkan satu persatu ke dalam bunga nipah yang diparut sebelum terhasil kerabu nipah," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Ibu kepada lapan anak itu berkata, dia hanya menghasilkan kerabu nipah apabila menerima tempahan sahaja kerana masanya terhadap disebabkan perlu menguruskan bayinya.

Menurutnya, sebelum ini kerabu nipahnya akan dijaja di beberapa kampung di delta Sungai Kelantan dengan menaiki perahu, manakala akan dijual Pasar Terapung Pulau Suri, di sini, pada setiap Sabtu.

Dengan harga jualan RM3, RM5 dan RM10 bergantung kepada saiz, Nora berkata, lazimnya menu kerabu nipah tidak menunggu masa yang lama untuk habis dijual.

NORA menunjukkan kerabu nipah yang sudah siap proses sebelum dibungkus untuk dijual kepada pelanggannya di Kampung Pantai Baru, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
NORA menunjukkan kerabu nipah yang sudah siap proses sebelum dibungkus untuk dijual kepada pelanggannya di Kampung Pantai Baru, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Permintaan untuk bulan puasa memang meningkat dan ia memberi pendapatan lebih kepada penduduk di pinggir sungai yang turut menghasilkan kerabu nipah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 4:46 PM