NEK Nap gemar menunaikan solat berjemaah di surau berhampiran rumahnya. FOTO Khalid Latip
NEK Nap gemar menunaikan solat berjemaah di surau berhampiran rumahnya. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


USIANYA mencecah 91 tahun, namun wanita warga emas, Dayang Jenap Abang Deris, tidak menghadapi masalah menunaikan semua amalan wajib sepanjang Ramadan.

Membahasakan dirinya sebagai Nek Nap, beliau yang menetap di Kampung Jalan Pengiran Kadir, Sarikei, tidak pernah meninggalkan solat berjemaah, Tarawih dan berpuasa.

Biarpun semakin dimamah usia dengan berbekalkan kudrat yang terhad, namun Nek Nap tetap dengan rutinnya berulang-alik ke surau untuk solat berjemaah.

Nek Nap berkata, kehadiran Ramadan seolah-olah memberikan kekuatan serta semangat kepadanya untuk menunaikan ibadat wajib dan sunat itu dengan sepenuh hati.

“Sejak akhir-akhir ini saya kerap sakit pinggang dan penglihatan juga semakin kurang. Namun, itu tidak sedikit pun melunturkan semangat saya untuk terus mendirikan solat sebagai tiang agama.

“Malah, selepas mengerjakannya saya rasa cukup tenang dan perasaan itu sememangnya sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya ketika dikunjungi NSTP di rumahnya di Sarikei, hari ini.

Nek Nap mengakui beliau seorang yang tidak gemar duduk diam kerana sudah terbiasa melakukan bermacam-macam pekerjaan sejak usia muda.

Justeru, ketika berpuasa, katanya, beliau akan melakukan pelbagai aktiviti di rumah bagi mengisi masa terluang sementara menunggu waktu berbuka.

Beliau yang mempunyai empat anak dengan tiga daripadanya sudah meninggal dunia berkata, ketika orang lain sibuk membuat persiapan Aidilfitri, dirinya pula terasa kehilangan ‘sesuatu’, terutama pada penghujung Ramadan.

“Walaupun gembira Aidilfitri hampir tiba, namun jauh di sudut hati saya sedih kerana Ramadan bakal berlalu pergi. Saya tidak tahu sama ada akan berpeluang menemuinya lagi tahun depan atau sebaliknya,” katanya.

Mengenai persiapan menjelang 1 Syawal ini, Nek Nap memberitahu beliau membuat persiapan secara sederhana dan meraikannya bersama keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 5:03 PM