Faizfauzan Afif yang maut dijangkiti Infuenza A. FOTO Ihsan Nek Mudzlifah Abdul Kahar
Faizfauzan Afif yang maut dijangkiti Infuenza A. FOTO Ihsan Nek Mudzlifah Abdul Kahar
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“SAYA tidak sangka demam panas dialami arwah anak (Faizfauzan Afif Pauzul Kamil) akhirnya menjadi punca dia meninggalkan kami sekeluarga,” kata Nek Mudzlifah Abdul Kahar, 48.

Anak kedua Nek Mudzlifah, Faizfauzan, 12, meninggal dunia Ahad lalu di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya selepas disahkan positif Influenza A (H1N1).

Memperincikan semula kisah anaknya itu, Nek Mudzlifah berkata, Faizfauzan pada mulanya demam pada Sabtu lalu namun selepas memberikan ubat keadaan kesihatannya masih belum menunjukkan tanda untuk pulih.

Menurutnya, anaknya kemudian diserang sawan sebelum dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta dengan bantuan saudara terdekat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Doktor kemudian berusaha memulihkan sawan dialami selain Faizfauzan mengalami pendarahan dan degupan jantung yang semakin lemah. Saya tidak pasti bagaimana arwah terkena jangkitan sedangkan kami sekeluarga mengambil langkah berjaga-jaga.

“Usaha doktor untuk menstabilkan degupan jantung juga tidak berjaya sebelum arwah disahkan meninggal dunia jam 2.07 petang dan doktor mengesahkan kematian disebabkan Influenza A,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Allahyarham Faizfauzan adalah orang kurang upaya (OKU) kerana tidak mampu bergerak dan bertutur dengan baik selepas disahkan mengidap Global Development Delay.

Nek Mudzlifah memaklumkan jenazah anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Medan di Petaling Jaya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihati ibu bapa agar lebih peka sekiranya anak mereka mengalami simptom Influenza A agar mendapatkan rawatan segera.

“Agak sukar mendapatkan vaksin di hospital swasta dan kerajaan kerana bimbang turut dijangkiti Influenza A namun bersyukur tiada jangkitan dikesan pada kami sekeluarga.

“Namun pembantu rumah disahkan positif Influenza A dan kini menerima rawatan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 4:39 PM