Fuad Hadinata Yaacob

BUDAK lelaki berusia lima tahun ditemui lemas ketika mandi kolam renang di Taman Botanic, Bukit Cerakah, Shah Alam hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata, mangsa Muhammad Imran Mohd Fuat

mengikuti keluarganya yang menghadiri hari keluarga di taman itu sebelum mandi di kolam renang berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, ketika itu kolam renang berkenaan tidak ramai orang dan mangsa yang mandi di kolam kanak-kanak kemudian masuk ke kolam dewasa yang terletak berhampiran.

Menurutnya, kejadian disedari orang awam yang melihat mangsa tidak sedarkan diri dalam kolam berkenaan.

"Ketika itu bapa mangsa pergi ke tempat letak kereta untuk melihat skuter yang hendak disewa untuk anaknya sebelum rakannya memaklumkan mengenai kejadian.

"Mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan kecemasan dan setibanya di hospital doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Nek Zaidi berkata, mangsa adalah anak keenam daripada tujuh beradik dan bedah siasat tidak dijalankan atas permintaan keluarga mangsa yang mahu menguruskan jenazah segera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 8:21 PM