NORLIZA (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada pelancong.
NORLIZA (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada pelancong.
Oleh Nor Akmar Samudin


Iftar@KL 2015 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ‘dibuka’ dengan meriah sekali di Jalan Raja, Dataran Merdeka, kelmarin dengan kehadiran lebih 10,000 orang terdiri daripada jemputan serta orang ramai yang berbuka puasa beramai-ramai bersila di atas tikar sepanjang jalan itu.

Berlatarkan keindahan bangunan Sultan Abdul Samad, disimbahi pula cahaya lampu berwarna-warni di sepanjang jalan raya, suasana berbuka terasa begitu unik. Tiada langsung rasa perbezaan darjat dan keturunan melainkan amat mensyukuri nikmat dan rezeki daripada Allah SWT. Sambil menikmati menu bubur lambuk dan nasi putih berlaukkan gulai kawah dan sayur kubis goreng yang diletak dalam kotak direka khas secara tidak langsung dapat memupuk kemesraan semua yang hadir.

Penganjuran kali keempat program Festival Ramadan yang diberi penjenamaan semula itu lebih besar dan turut disediakan kemudahan berwuduk dan ruang solat yang lebih selesa dan besar. Selesai berbuka, orang ramai bersolat Maghrib dan seterusnya Isyak serta Tarawih beramai-ramai. Syahdunya apabila semua umat Islam berkumpul dengan satu tujuan mengagungkan perintah Allah SWT.

Sebelum itu, program Iftar@KL 2015 disempurnakan dengan majlis pelancaran dilakukan Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rosli bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A Tambi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Ong Hong Peng dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dengan mengacau bubur lambuk.

Norliza berkata, program itu mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai dan pelancong asing. Sejak ia dimulakan pada 2012 sehingga 2014, seramai 500,000 orang membabitkan diri dalam program itu.

“Ada pelancong yang datang dari negara Timur Tengah, Korea, Kanada, Amerika, Australia dan Negara ASEAN. Tahun ini, JKKN memberi penjenamaan baru kepada Festival Ramadan dan mengkhususkan aktiviti yang berlangsung dengan nama baru iaitu Iftar@KL 2015.

“Ia bertujuan menjadikan Ramadan sebagai satu bulan di mana kegiatan kerohanian dan kesenian Islam dapat disemarakkan kepada masyarakat khususnya generasi muda serta memupuk nilai murni melalui penganjuran aktiviti.

“Selain itu, ia bertujuan mengimarahkan dan memakmurkan bulan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan melalui amalan kebajikan di samping mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Lebih istimewa lagi, selesai solat Tarawih diadakan pula moreh. Sambil menikmati juadah disediakan, orang ramai dihiburkan dengan persembahan daripada kumpulan nasyid Hijjaz dan Datuk Ramli Sarip serta dikir zikir oleh ustaz Ghazali Ibrahim.

Orang ramai dijemput beramai-ramai berbuka puasa di Jalan Raja yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad. Setiap minggu, orang ramai akan dihiburkan artis dan selebriti jemputan berbeza di mana minggu depan (27 dan 28 Jun) saksikan penampilan Ustaz Haslin Baharim, Ustaz Muhammad Asyraf, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid dan Munsyeed Berselawat, Datuk M Nasir, Raja Zulkarnain dan Yasin.

Minggu berikutnya pula, program iftar itu akan dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Al-Mawlid dan Rabbani, Ustaz Datuk Mohamad Kazim Elias dan Ustazah Datuk Siti Nur Bahyah Mahamood bersama Shuib Sepahtu (sebagai moderator). Ming­gu terakhir pula, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Hafiz Hamidun, Daq­mie dan Opick.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 10:59 AM