TIMBALAN Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan, Dr Hafidzah Mustakim (dua dari kiri) mencuba baju raya kepada Aril Aziz dan Aidil Aziz sambil diperhatikan ibunya Fatimah Aziz  bagi membuat persiapan menjelang Aidilfitri.  -Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
TIMBALAN Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan, Dr Hafidzah Mustakim (dua dari kiri) mencuba baju raya kepada Aril Aziz dan Aidil Aziz sambil diperhatikan ibunya Fatimah Aziz bagi membuat persiapan menjelang Aidilfitri. -Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


“SAMBUTAN Aidilfitri tahun ini lebih bermakna apabila semua anak memperoleh pakaian baru sendiri berbanding sebelum ini,” kata pekerja kedai makan Rokinah Ismail, 33.

Rokinah berkata, beberapa tahun sebelum ini, mereka sekeluarga hanya memakai baju raya lama kerana kesempitan hidup, namun anak-anak tetap gembira meskipun tanpa persalinan baru.

Katanya, sejak tiga bulan lalu, dia mula bekerja di kedai makan dengan upah RM25 sehari untuk membantu meringankan beban suaminya, Mohamad Ismail, 53, yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM450 seminggu.

“Alhamdulillah dengan wang itu, saya dan suami dapat membuat persiapan lebih awal dengan membeli baju raya untuk tiga anak kami iaitu Mohamad Ramdan Syawal, 11, Nur Alia Balqis, 10, dan Mohamad Alif Firdaus, 8.

“Pada hari ini, dua anak saya, Nur Alia Balqis dan adiknya Mohamad Alif Firdaus menerima sumbangan baju raya daripada Yayasan Murni Kelantan (YMK).

“Saya berterima kasih kepada pihak yang membantu dan menganggap sumbangan ini adalah rezeki anak-anak,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian zakat dan baju raya anjuran YMK dengan kerjasama Amal Care Group dan Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Kota Bharu di Pasaraya Mydin Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Dalam program itu, seramai 250 asnaf terpilih menerima sumbangan baju raya dan zakat membabitkan kos keseluruhan RM25,000 yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif YMK Lin Zainun Che Mahmood.

Sementara itu, Lin Zainun berkata, program amal berkenaan diadakan sejak 2001 hingga kini untuk membantu menceriakan golongan kurang berkemampuan menyambut hari raya.

“Pada tahun ini, kita menyenarai pendek asnaf yang layak mendapat bantuan terutama mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah.

“Saya berharap dengan sumbangan diberikan ini sedikit sebanyak dapat mengukir senyuman di wajah setiap penerima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 1:53 PM