TUKANG jahit menggunakan tangga ketika mengambil ukuran badan Mohd Azli Hisyam baru-baru ini. FOTO Ihsan Pembaca
TUKANG jahit menggunakan tangga ketika mengambil ukuran badan Mohd Azli Hisyam baru-baru ini. FOTO Ihsan Pembaca
Ramli Ibrahim


SAMBUTAN Aidilfitri kali ini amat bermakna bagi lelaki tertinggi di negara ini apabila menerima sumbangan empat pasang baju Melayu yang ditempah khas.

Sumbangan baju raya itu diperoleh Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, 25, yang memiliki ketinggian 220 sentimeter daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf (PEKA) Gua Musang dan Majlis Belia Jajahan (MBJ).

Penyerahan pakaian raya dilakukan Penaung PEKA, Datuk Roshaimi Razak dan Pengerusi MBJ, Mohd Asmawi Fikri Ab Ghani pada Majlis Iftar dan Penyampaian Baju Raya kepada Anak Yatim dan miskin di Bukit Chekati, Gua Musang, semalam.

Pada majlis sama, PEKA turut menyampaikan sumbangan baju raya kepada 182 anak yatim dan miskin serta memberi zakat kepada 40 golongan asnaf.

Sementara, Mohd Azli ketika ditemui melahirkan rasa syukur apabila memperoleh sumbangan pakaian raya untuk sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Baju yang dijual di kedai tiada saiz kerana ketinggian luar biasa yang saya miliki, jadi saya terpaksa membuat tempahan khas di kedai jahit.

“Bagaimanapun untuk berbuat demikian, saya dan keluarga tidak mampu kerana membabitkan kos tinggi. Alhamdulillah, dengan keprihatinan PEKA dan MBJ, saya menerima empat pasang baju Melayu untuk menyambut 1 Syawal,” katanya ketika ditemui.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang tukang jahit terpaksa menggunakan tangga untuk mengambil ukuran baju Mohd Azli yang memiliki ketinggian lebih 200 cm pada minggu lalu.

Sementara itu, Roshaimi berkata, program bantuan itu dijalankan untuk memberi keceriaan kepada golongan tidak berkemampuan untuk menyambut Aidilfitri.

“PEKA akan meneruskan sumbangan seumpama ini tahun depan dengan menambah lebih ramai penerima.

“Kita mahu golongan terbabit turut merasai kemeriahan menyambut Aidilfitri seperti insan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 11:52 AM