Mohd Rizal Abdullah


LELAKI ditemui mati dipercayai menggantung diri di dahan pokok dalam kejadian di ladang sawit di Batu Niah, Miri, kelmarin.

Mayat lelaki berusia 26 tahun itu ditemui rakan sekerjanya pada 11.20 pagi selepas dilaporkan dua hari tidak datang bekerja di ladang sawit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan mangsa dipercayai menggantung diri akibat tekanan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh, berlaku pertengkaran antara lelaki terbabit dengan isterinya sebelum ini.

"Isteri lelaki terbabit dilaporkan meminta cerai sebelum lelaki itu dilaporkan 'hilang' dan tidak datang bekerja.

"Bagaimanapun, lelaki itu akhirnya ditemui pekerja ladang dalam keadaan tidak bernyawa di dahan pokok berkenaan," katanya

Katanya, mayat lelaki terbabit kemudiannya dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 5:17 PM