GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


POLIS menahan seorang lelaki warga Myanmar selepas dipercayai mencabul dua pekerja wanita dalam kejadian di pasar raya berasingan di sekitar Butterworth, dekat sini.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan pada 11 malam tadi di pasar raya dekat Sungai Puyu, Butterworth selepas polis memperoleh laporan dibuat kedua-dua mangsa dan hasil pengecaman berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata dua mangsa berusia 18 dan 21 tahun membuat laporan polis berikutan takut dengan kejadian menimpa mereka.

“Mangsa berusia 18 tahun memaklumkan dia terkejut apabila dihampiri lelaki tidak dikenali ketika sedang bekerja dan suspek memeluk mangsa dari arah belakang.

“Berang dengan perbuatan suspek, mangsa memarahinya, namun suspek menggugut akan datang semula untuk mengganggu mangsa serta mengajak mengadakan hubungan seks,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, manakala mangsa berusia 21 tahun melaporkan suspek bertindak memegang payudaranya ketika hendak keluar dari kedai untuk mengambil barang.

“Mangsa menjerit ketakutan dan berlari masuk ke dalam kedainya semula, tetapi sebelum beredar suspek menunjukkan isyarat telunjuk kepada mangsa sebagai tanda amaran.

“Bimbang dengan ancaman dan keselamatan, mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 8:26 PM