A Sivanesan (kanan) membuat pemeriksaan harga selepas pelaksanaan GST kadar sifar bermula hari ini. FOTO L Maniraman
A Sivanesan (kanan) membuat pemeriksaan harga selepas pelaksanaan GST kadar sifar bermula hari ini. FOTO L Maniraman
Muhammad Apendy Issahak


MASIH ramai peniaga dikesan belum sempat menukar tanda harga baharu selepas pelaksanaan kadar sifar peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkuatkuasa hari ini.

Walaupun peniaga mempunyai tempoh 30 hari untuk mempamerkan tanda harga baharu, penggunaan tanda harga lama didakwa mengelirukan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata, peniaga diberi tempoh sehingga 30 Jun ini bagi mengemaskini tanda harga.

“Menjadi tanggungjawab peniaga supaya memastikan harga akhir yang dibayar di kaunter oleh pengguna adalah pada kadar sifar GST.

“Pemeriksaan secara berterusan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengesan peniaga yang ingkar pelaksanaan pembatalan GST itu,” katanya ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan harga di AEON Kinta City, Ipoh, hari ini.

Sivanesan berkata, jika didapati ada peniaga yang ingkar mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Semua peniaga digesa mematuhi arahan kerajaan ini dan tidak mengambil kesempatan terhadap peralihan kadar cukai yang baharu.

“Pengguna pula dinasihatkan supaya meminta dan menyemak resit pembelian yang seharusnya tertera kadar GST sifar dan jika terdapat sebarang aduan boleh menyalurkannya kepada KPDNKK,” katanya.

Menurutnya, 292 pegawai penguatkuasa dan pegawai pemantau harga KPDNKK akan melaksanakan Ops Catut 4.0 untuk memastikan peniaga mematuhi pelaksanaan kadar sifar GST berkenaan.

Sementara itu, Pengurus AEON Kinta City, Cheah Chee Kong, berkata, perubahan kadar GST itu lebih mudah berbanding melaksanakannya buat pertama kali pada 2015 kerana perlu memasang sistem baharu yang memerlukan percubaan dan banyak persediaan.

“Bagi tanda harga yang belum sempat ditukar, kami menandakan dengan pelekat merah dan kadar GST enam peratus akan ditolak di kaunter pembayaran,” katanya.

Menurutnya, bagi barangan yang sudah dikemaskini, dua tanda harga dipamerkan iaitu yang baharu dan lama bagi membolehkan pengguna membuat perbandingan harga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 3:46 PM