Oleh Mohd Hasbi Sidek

Klang: Hari pertama pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di negeri ini menyaksikan lapan notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK).

Menerusi Operasi Pematuhan GST-Catut, notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Mohd Roslan Mahyuddin berkata, sehingga 3 petang tadi pihaknya mengeluarkan lapan notis antaranya mengesan peniaga menaikkan harga barang selain mengesan satu kes tidak meletakkan tanda harga.

"Kami melakukan operasi di lima lokasi berbeza di Bukit Tinggi, di sini; Seksyen 7, Shah Alam; serta tiga lokasi di sekitar Subang.

"Seramai 40 anggota penguat kuasa menyertai ops ini dengan bantuan 10 pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 6:15 PM