ABDUL Yunus (dua dari kiri) melihat bubu naga yang dirampas pada sidang media selepas taklimat umum mengenai masalah perikanan dihadapi nelayan di Kuala Kurau di Kompleks Perikanan Daerah, Parit Buntar, hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
ABDUL Yunus (dua dari kiri) melihat bubu naga yang dirampas pada sidang media selepas taklimat umum mengenai masalah perikanan dihadapi nelayan di Kuala Kurau di Kompleks Perikanan Daerah, Parit Buntar, hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


PENGUSAHA dan nelayan pukat kenka (pukat tunda dua bot) di daerah Kerian perlu menukar aktiviti mereka berikutan penggunaan pukat itu diharamkan kerajaan menjelang 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, penukaran aktiviti kepada menjadi nelayan laut dalam Zon C atau menceburi industri pemprosesan ikan serta ternakan ikan sangkar antara boleh mereka pertimbangan untuk diceburi.

Beliau berkata, aktiviti berkenaan lebih sesuai berbanding aktiviti pukat kenka yang menjejaskan sumber perikanan selain menjejaskan hasil tangkapan nelayan tradisional.

“Tidak dinafikan ramai nelayan kenka bergantung hidup terhadap aktiviti perikanan ini, namun sekiranya lesen pukat kenka dimansuhkan nanti ia akan turut menjejaskan pendapatan mereka.

“Justeru kerajaan mencadangkan agar mereka menukar operasi sedia ada (kenka) kepada Zon C iaitu nelayan laut dalam yang beroperasi 15 batu nautika dan ke atas atau menceburi bidang memproses ikan laut atau ternakan sangkar.

“Ada cadangan dari nelayan terbabit supaya lesen mereka ditambahkan lima tahun lagi atau pemberian pampasan setimpal setelah ia dihapuskan.

“Bagaimanapun ia masih dalam perbincangan di peringkat atasan termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat umum mengenai masalah perikanan dihadapi nelayan di Kuala Kurau pada majlis bersama kakitangan warga Perikanan Daerah Kerian di Kompleks Perikanan Daerah, Parit Buntar, hari ini.

Taklimat lebih dua jam itu disampaikan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zaki Mokhri.

Dalam pada itu, Zaki berkata, pukat kenka diharamkan berikutan 40 peratus tangkapan mereka termasuk benih ikan dan perkara itu jika terus dibiarkan boleh menjejaskan sumber perikanan.

Katanya, selain pukat kenka, penggunaan bubu naga dan pukat sorong turut mengancam kelestarian sumber perikanan negara dan menjejaskan hasil tangkapan nelayan tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 11:36 PM