Putrajaya: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menjalankan siasatan terhadap aduan kelemahan penguatkuasaan dua agensi penguatkuasaan berkaitan pencerobohan bot pukat ‘kenka’ di pesisiran pantai Kuala Kurau, Perak.

Setiausaha EAIC Kamal Baharin Omar berkata, suruhanjaya itu menerima aduan daripada nelayan dan persatuan nelayan pantai mengenai kelemahan atau ketiadaan penguatkuasaan undang-undang atau peraturan pelesenan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan berhubung pencerobohan itu.

Bagi tempoh Januari 2012 hingga Oktober 2013, 86 aduan diterima APMM Pangkalan Kuala Kurau, Perak bagi penguatkuasaan dan tindakan terhadap masalah pencerobohan bot pukat ‘kenka’ itu.

“Bagaimanapun, tiada penguatkuasaan undang-undang dan peraturan pelesenan diambil secara berkesan agensi penguatkuasaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, bot pukat ‘kenka’, yang dilesenkan Jabatan Perikanan bagi menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan perairan negara melebihi lima batu nautika dari pantai, dikatakan menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan hasil laut dalam lingkungan lima batu nautika.

Kamal Baharin berkata, penarikan pukat yang diikat pada dua bot ‘kenka’ dilabuh ke dasar laut dan dinaikkan secara tarikan melalui dua bot ‘kenka’ yang dipandu laju memerangkap pelbagai spesies ikan dengan menjadikan sasaran utama kepada ikan bawal lambak, senangin, udang, ketam dan anak ikan.

“Aktiviti penangkapan ikan bot pukat ‘kenka’ itu menjejaskan hasil tangkapan dan pendapatan nelayan pesisir pantai serta menghakis eko-sistem hidupan laut,” katanya.

Menurutnya APMM dan Jabatan Perikanan adalah antara 21 agensi penguatkuasaan di bawah kawal selia EAIC mengikut Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.

Sesiapa mempunyai maklumat berkaitan berhubung perkara itu boleh disalurkan ke laman sesawang EAIC di www.eaic.gov.my atau menghubungi talian aduan 03-8888 6618, 03-8888 6509, 03-8888 2184 atau ke [email protected] . –Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:40 AM