MOHAMAD Sabu (lima kiri) dan isteri, Normah Alwi (dua kanan) diiringi Affendi (tiga kiri) turun dari pesawat A400M TUDM pada 26 Mei lalu bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Warga TUDM di Pangkalan Udara TUDM Butterworth. FOTO Danial Saad
MOHAMAD Sabu (lima kiri) dan isteri, Normah Alwi (dua kanan) diiringi Affendi (tiga kiri) turun dari pesawat A400M TUDM pada 26 Mei lalu bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Warga TUDM di Pangkalan Udara TUDM Butterworth. FOTO Danial Saad
Hidayatul Akmal Ahmad


PANGLIMA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menjelaskan bahawa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tidak menyalahgunakan aset ketenteraan dalam perjalanan ke Pangkalan Udara Butterworth untuk majlis rasmi, 26 Mei lalu.

Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, lawatan itu adalah untuk menghadiri program buka puasa tahunan TUDM serta bertemu pegawai tentera udara.

"Saya menjemput Menteri Pertahanan untuk menghadiri acara buka puasa bagi berjumpa dengan pegawai TUDM yang berkhidmat di Pangkalan Udara Butterworth.

"Ia adalah program tahunan angkatan udara dan beliau (Mohamad) kali pertama bertemu pegawai tentera udara.

"Angkatan Tentera dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mengadakanprogram dengan menteri tidak lama lagi," katanya kepada media

dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, Affendi menegaskan bahawa pesawat TUDM Airbus A400M juga digunakan bagi memberi manfaat dan melengkapkan jam penerbangan (flying hours) juruterbang TUDM yang membawa pesawat berkenaan.

Katanya, ini kerana setiap juruterbang perlu melengkapkan jumlah jam penerbangan bagi mengekalkan tahap kompetency mereka.

"Setiap juruterbang perlu mencapai jam penerbangan bagi mengekalkan tahap kecekapan mereka.

"Oleh itu, perjalanan ini juga juga telah menyelamatkan kos pengangkutan berbanding menggunakan pesawat komersil dari segi masa dan kos kementerian untuk kedua-dua tujuan," katanya.

Beliau berkata perjalanan itu juga bertujuan memberi pendedahan mengenai keupayaan, prestasi, kreadibiliti dan kemampuan pesawat A400M iaitu pesawat pengangkutan pelbagai guna dalam menjalankan pelbagai operasi ketenteraan disamping mengekalkan tahap kesiagaan ATM.

Pada 28 Mei lalu, peguam, Abu Backer Sidek membuat laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, menyalahgunakan aset ketenteraan dalam perjalanannya ke Butterworth.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 2:08 PM