Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat. FOTO ihsan bomba
Farah Suhaidah Othman


Taiping : Empat kampung di sekitar kawasan Batu Kurau dilanda banjir susulan hujan lebat sejak petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa Bomba Taufik Abd Sattar berkata, dua warga emas di Jalan Batu 16, Kampung Relau, di sini, dipindahkan ke rumah saudara mereka di Kampung Batu Kurau.

Katanya, pihaknya menerima maklumat daripada anak dua warga emas itu memaklumkan mereka terperangkap di rumah pada 7.11 malam selepas kediaman dinaiki air 0.5 meter.

"Ketika operasi pemindahan dijalankan, kita menerima satu lagi maklumat daripada seorang mangsa banjir di Kampung Paya Kiri, Batu Kurau meminta bantuan bomba untuk memindahkan ibunya yang lumpuh ke rumah jiran.

"Kemudian, polis memaklumkan ada satu keluarga di Kampung Pondok Kuin turut terperangkap dalam rumah yang dinaiki air setinggi satu meter dan titi untuk ke kawasan rumah berkenaan roboh. Kita memindahkan semua memindahkan mangsa banjir itu ke rumah saudara mereka di kawasan berhampiran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Taufiq berkata, jalan utama Batu Kurau di sekitar empat kampung berkenaan turut ditutup untuk laluan kenderaan pada 8 malam tadi.

"Anggota bomba dalam keadaan berjaga-jaga dan pemantauan masih dilakukan kerana dikhuatiri ada lagi mangsa yang terperangkap sekiranya hujan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 2:14 AM