JUNAYDIE (kanan) memberi taklimat sebelum memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu. (Gambar kecil) Airil Zidan. FOTO Lano Lan.
JUNAYDIE (kanan) memberi taklimat sebelum memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu. (Gambar kecil) Airil Zidan. FOTO Lano Lan.
Fardy Bungga


MENDAKI Gunung Kinabalu pada hari biasa pasti tidak mendatangkan masalah bagi malim gunung, tetapi apabila dilakukan ketika berpuasa, ia memerlukan ketahanan lebih ekstrem.

Mereka bukan saja memerlukan ketahanan fizikal, malah menagih kecekalan serta kekuatan mental dalam menghadapi cabaran pendakian terutama menahan lapar dan dahaga.

Namun, Ramadan tidak pernah menjadi penghalang bagi malim gunung untuk meneruskan tugas membawa pelancong mendaki Gunung Kinabalu di Kundasang.

Walaupun terpaksa mengharungi pendakian sejauh kira-kira enam kilometer dari kaki gunung sehingga ke penginapan Laban Rata dalam keadaan berpuasa, ia sudah menjadi kebiasaan kepada malim gunung yang beragama Islam.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Junaydie Sihan, 40, berkata meskipun pada bulan Ramadan, ramai pelancong terutama dari luar negara tetap datang untuk mendaki gunung.

Katanya, mereka tiada pilihan dan perlu meneruskan tugas harian itu yang menjadi sumber pendapatan tetap kepada kebanyakan malim gunung dan ‘porter’.

“Membawa pelancong dalam keadaan berpuasa sememangnya mencabar. Sekiranya mereka bergerak cepat, kami terpaksa pantas dan ini biasanya pelancong ‘mat salih’. Kami perlu menggunakan tenaga yang banyak.

“Apa yang berbeza pada bulan puasa, kami perlu membawa bekalan untuk berbuka kerana bimbang pergerakan pelancong dibawa perlahan.

“Pernah ada pelancong sampai ke pusat penginapan Laban Rata sekitar 7 hingga 8 malam dan kami terpaksa berbuka di pertengahan pendakian,” katanya.

Menurutnya, untuk bersahur pula mereka perlu bangun seawal 2 pagi dan makan sebelum memulakan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.

Katanya, mereka akan makan semampu yang boleh untuk mendapatkan bekalan tenaga kerana kebiasaannya kurang selera makan ketika berada di altitud tinggi.

Malim gunung, Airil Zidan Robin, 36, berkata persiapan awal penting dalam menghadapi tugas membawa pelancong di bulan puasa.

Katanya, makanan tambahan perlu dibawa sepanjang pendakian kerana bimbang akan berlaku kekurangan mineral dalam badan sehingga menyebabkan kekejangan.

“Begitu juga ketika bersahur, kami mengambil air secukupnya dan makanan berkhasiat yang mampu memberi banyak tenaga.

“Sebaliknya ketika berbuka, kami tidak boleh makan banyak untuk mengelak terlalu kenyang sehingga menyukarkan pendakian naik ke puncak pada awal pagi keesokan harinya.

“Pendakian ketika berpuasa memerlukan ketahanan mental. Ini kerana kita mudah hilang fokus dan mungkin mengakibatkan sesat jalan atau kemalangan,” katanya.

Airil berkata, pendakian dilakukan secara berkumpulan lebih digalakkan untuk memudahkan pemantauan pendaki yang dibawa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 3:42 PM