KUMPULAN Fathurahman bergambar di jambatan gantung pertama.
KUMPULAN Fathurahman bergambar di jambatan gantung pertama.
SESI taklimat mengenai penggunaan  alat keselamatan di Pendant Hut.
SESI taklimat mengenai penggunaan alat keselamatan di Pendant Hut.
NUR Ashikin (depan) berhenti rehat di atas jambatan gantung bersama rakannya untuk ke dinding batu yang seterusnya.
NUR Ashikin (depan) berhenti rehat di atas jambatan gantung bersama rakannya untuk ke dinding batu yang seterusnya.
REMAJA berjaya takluk trek mencabar sering jadi tumpuan penggiat aktiviti lasak.
REMAJA berjaya takluk trek mencabar sering jadi tumpuan penggiat aktiviti lasak.
Fatin Farhana Japre


Aktiviti mendaki kini semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda dan buktinya banyak gambar pendakian dimuat naik menjadi tular di media sosial.

Lebih menarik, aktiviti lasak bukan saja dimonopoli remaja lelaki malah perempuan juga berani menyahut cabaran bahaya dan ketinggian.

Penulis berpeluang menemu bual tiga remaja yang berjaya ‘menawan’ Via Ferrata di Gunung Kinabalu, Sabah yang sentiasa menjadi tumpuan penggiat aktiviti lasak ini.

Via Ferrata dalam bahasa Itali bermaksud ‘jalan dengan besi’, terletak di 3,776 meter dari aras laut berhampiran puncak Gunung Kinabalu dan diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai yang tertinggi di dunia.

Meskipun bukan remaja perempuan pertama menawan Via Ferrata, Nur Ashikin Che Johari, 29, atau lebih mesra dipanggil Ashikin bangga dengan pencapaiannya kerana berjaya mencabar diri dan mengharungi segala rintangan sepanjang menuruni Via Ferrata bersama empat lagi rakannya.

Ashikin akui walaupun dia sudah biasa mendaki banyak gunung dan bukit di Semenanjung, Via Ferrata antara trek paling mencabar dan perlukan persediaan ‘secukupnya’ dari segi mental dan fizikal.

Ternyata persiapan lapan bulan sebelum pendakian pada awal Januari tahun lalu bukan jaminan stamina dan ketahanan fizikal sudah cukup kuat untuk menempuhi setiap liku perjalanan.

Seawal 6 pagi mereka memulakan perjalanan menuju ke Taman Kinabalu untuk pendaftaran dan cabaran sebenar bermula 8 pagi apabila mereka terpaksa meniti anak tangga selama enam jam untuk tiba ke Laban Rata.

Kira-kira jam satu 1 tengah hari, mereka tiba di Laban Rata untuk mendengar sesi taklimat keselamatan dan peralatan daripada malim gunung bertugas dan bermalam di Pendant Hut.

“Ketika sesi taklimat, pendaki diberi tunjuk ajar mengenai cara pemasangan ‘harness’ (abah-abah keselamatan) yang betul kerana kita akan menggunakan tali untuk turun dan menukar kedudukan besi mengikut arahan malim gunung. Antara syarat untuk melalui Via Ferrata pula, malim gunung perlu menjadi penunjuk arah bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku dan mesti tiba di checkpoint Via Ferrata sebelum jam 7 pagi. Jika pendaki tiba di checkpoint ketika melebihi jam 7 pagi, mereka tidak dibenarkan turun menggunakan laluan Via Ferrata.

“Keesokan harinya, tepat jam 3 pagi kami meneruskan pendakian ke Via Ferrata yang bersebelahan puncak Gunung Kinabalu. Kebetulan saya mengalami demam panas tetapi tetap gagahkan diri memandangkan sudah ‘melabur’ duit simpanan sebanyak RM1,500 demi merasai sendiri pengalaman melalui Via Ferrata.

“Walaupun badan dalam keadaan lemah, saya berjaya tiba di checkpoint Via Ferrata tetapi tidak sempat singgah di puncak Gunung Kinabalu kerana kesuntukan masa.

“Semasa menuruni Via Ferrata, saya teruja melihat pemandangan yang cantik dan rasa seperti berada di atas awan. Sampai sekarang saya tidak boleh lupakan pengalaman manis yang memakan masa empat jam untuk tiba di Laban Rata semula. Cuaca yang sangat sejuk sehingga menyukarkan bernafas bukan penghalang untuk menuruni Via Ferrata dalam keadaan gayat dengan ketinggian.

“Saya berjaya menghindar perasaan takut dengan ketinggian dan menjadi lebih berani menuruni Via Ferrata dengan pelbagai postur badan berbeza seperti mengiring dan menurun.

“Kita akan rasa sangat kerdil kerana bila pandang ke bawah hanya nampak kabus dan terbayang kemungkinan untuk jatuh. Bagaimanapun, kumpulan saya berjaya tiba di Via Ferrata dengan selamat dan turun semula ke Taman Kinabalu jam 2 petang pada hari sama,” kata anak ketiga daripada lima beradik ini.

Menurut Ashikin yang berjawatan pegawai di sebuah syarikat swasta di Bangi, dia merancang menawan Everest Base Camp pada September depan bersama rakannya.

Selain itu, dia juga mula berjinak-jinak dalam larian untuk meningkatkan stamina namun masih mengutamakan karier untuk mengekalkan gaya hidup aktif.

Sementara itu, dua sahabat iaitu Fathurahman Nasir, 29, dan Hood Abdul Razak, 29, berkongsi pengalaman mereka menawan Via Ferrata tiga minggu sebelum gempa bumi Sabah pada 2015. Pendakian disertai tiga lagi rakan perempuan mereka menguji sikap setia kawan apabila seorang daripada mereka diserang ‘altitude mountain sickness’ (AMS) semasa pendakian menuju ke Via Ferrata dari Taman Kinabalu.

“Di ketinggian 3,000 meter dari aras laut, seorang daripada rakan perempuan kami mengalami AMS menyebabkan dia pening dan loya tetapi kami bertindak pantas memberinya ubat tahan sakit.

“Hood membawa beg sandangnya dan pendakian lebih mencabar ketika menuju ke puncak Low Peak kerana udara semakin berkurangan menyebabkan langkah kami semakin perlahan.

“Hood dan saya lebih teruja ketika menuruni Via Ferrata manakala tiga rakan perempuan kami berasa takut tetapi mereka berjaya mengatasinya.

“Selain perlu melakukan pelbagai aksi seperti mengiring dan menuruni tangga besi, kami teruja merasai pengalaman meniti tiga jambatan gantung untuk ke dinding batu yang lain dengan ketinggian yang sangat menggerunkan. Ini kerana kami rasa seperti duduk bersantai di atas pangkin kayu sambil menikmati pemandangan awan biru betul-betul di hadapan mata.

“Pengalaman manis menuruni Via Ferrata tidak mungkin luput ingatan kami. Hujung tahun ini pula kami bercadang menawan puncak Gunung Kinabalu untuk melihat lopak air dan batu seakan-akan telinga keldai yang sudah patah sebelah akibat gempa bumi yang sentiasa meniti di bibir pendaki lain secara lebih dekat.

“Kami sentiasa mengalu-alukan remaja di luar sana untuk menyertai aktiviti sebegini supaya lebih menghargai alam semula jadi dan jika berminat boleh dapatkan tip daripada saya menerusi Instagram @fathurahman_nasir,” kata jurutera muda ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 5:05 AM