MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika wawancara bersama Bernama News Channel (BNC) dalam program 'The Nation' yang disiarkan oleh BNC di Wisma Bernama. FOTO Bernama
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika wawancara bersama Bernama News Channel (BNC) dalam program 'The Nation' yang disiarkan oleh BNC di Wisma Bernama. FOTO Bernama
Azura Abas; Suhaila Shahrul Annuar dan Noor Atiqah Sulaiman


SEMUA pengusaha institut latihan memandu diarah supaya memperincikan setiap caj bagi perkhidmatan diberikan ke arah mewujudkan sistem pengambilan lesen lebih telus dan berintegriti di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata ia bagi mengelak berlakunya penawaran ‘pakej sampai lulus’ serta pengambilan lesen terbang atau lesen ‘kopi o’.

Beliau berkata, selain itu ia bagi memastikan tiada sebarang kos tersembunyi dikenakan kepada pengguna kerana pengguna berhak tahu apa yang mereka bayar.

Menurutnya, kadar ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk lesen motosikal kelas B2 adalah RM350, kelas D Manual (RM1,150) dan kelas D Automatik (RM1,250) dan ia termasuk latihan serta sebahagian kecil bayaran kepada JPJ hanya untuk lesen dan ujian.

“Saya difahamkan oleh penguat kuasa JPJ, ada institut memandu yang mengutip sehingga RM2,200 dan ada istilah ‘pakej sampai lulus’. Saya dah bagi arahan tidak ada mana-mana institut memandu boleh mengamalkan ‘pakej sampai lulus’ ini. Ini memberi persepsi bahawa ada ‘paw kawtim’.

“Semua caj perlu disenaraikan dalam resit. Pengguna ada hak untuk tahu apa yang mereka bayar. Institut latihan memandu boleh mengutip bayaran tambahan seperti perkhidmatan penghantaran pergi dan balik dari rumah ke institut, tetapi ia mesti termaktub sebagai pilihan bukan paksaan selain perlu dinyatakan dalam resit.

“Saya bagi amaran kepada semua institut latihan memandu, tidak boleh ada kos tersembunyi, jika ada mana-mana yang melanggar peraturan ini, saya tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka yang perlu diperbaharui setiap tahun.

“Ini adalah peringatan untuk semua bagi memastikan proses pengambilan lesen adalah telus,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi JPJ di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek perintis ujian litar automasi akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, menerusi pelaksanaan itu, semua perkara berkaitan ujian di litar akan dilakukan secara berkomputer serta tiada lagi penguji atau pegawai JPJ memantau di litar, sebaliknya mereka akan memantau melalui video di bilik kawalan.

“Bagi ujian di jalan raya, setakat ini masih belum lagi secara automasi, justeru pengusaha institut latihan memandu perlu memasang kamera ‘dashboard’ dalam kenderaan ujian mereka bagi mengelak kejadian penguji sengaja menggagalkan pelajar seperti menjadi kegusaran ramai sebelum ini.

“Jika ada pelatih merasakan penguji sengaja menggagalkan mereka kerana tidak membayar sogokan atau sebagainya, aduan boleh dibuat dan kita boleh merujuk kepada rakaman kamera dalam kereta itu,” katanya.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan sistem berintgeriti dilaksanakan dalam proses pengambilan lesen di negara ini bagi memastikan ia telus.

Menurutnya, semua pihak perlu memberi komitmen dan tidak harus bergantung kepada kerajaan saja.

“JPJ akan memberi arahan dan garis panduan berhubung semua perkara ini dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Selain itu, JPJ akan memberi tempoh sesuai sebelum pengumuman pelaksanaan sepenuhnya dibuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 5:07 PM