Keadaan Masjid Jamek Kampung Bongek Rembau yang musnah 70 peratus dalam kebakaran pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba.
Keadaan Masjid Jamek Kampung Bongek Rembau yang musnah 70 peratus dalam kebakaran pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba.
Mohd Amin Jalil

Rembau: Kegembiraan penduduk Kampung Bongek Chengkau di sini, menyambut Ramadan lusa bertukar hiba apabila masjid di kampung itu musnah terbakar pagi tadi.

Pengerusi masjid itu, Harun Abdul Rahman, 65, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama beberapa penduduk dan ahli kariah masjid sedang mengikuti kursus tajwid di Dewan Orang Ramai Chengkau di sini.

"Kami terkejut apabila menerima maklumat masjid sedang marak terbakar sebelum bergegas ke lokasi.

"Kami dapati anggota pasukan bomba dan penyelamat sedang berusaha memadamkan kebakaran. Persiapan menyambut Ramadan dan solat tarawih yang dilakukan sejak beberapa hari lalu musnah.

"Baru semalam kami melakukan gotong-royong membersihkan kawasan dan membuat pelbagai persiapan untuk menyambut Ramadan," katanya.

Menurutnya, kebakaran yang memusnahkan 70 peratus masjid itu menyebabkan penduduk terpaksa menunaikan solat di tiga surau di kampung berhampiran.

Sementara itu, penduduk setempat yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Rembau, Latif Alias, 58, berkata, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Dr Awaluddin Said, yang kini berada di luar kawasan.

Menurutnya, wakil rakyat berkenaan akan melawat lokasi kejadian secepat mungkin.

Beliau berkata, Masjid Kampung Bongek berusia lebih 70 tahun menjadi pusat komuniti utama di kampung berkenaan.

"Kejadian itu akan memberi sedikit kesukaran bagi ahli kariah untuk menunaikan solat sunat Tarawih pada Ramadan kali ini.

"Walaupun terdapat beberapa surau dan madrasah di kawasan berhampiran, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal ditetapkan... sudah pasti akan menimbulkan sedikit kesukaran buat jemaah," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, Amer Izham Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran itu pada jam 10.19 pagi tadi.

Katanya, kebakaran membabitkan ruang mimbar, ruang solat jemaah lelaki dan perempuan, bilik imam dan tempat rak buku agama, bilik sistem pembesar suara, bilik mesyuarat.

"Selain itu, kawasan siling dan struktur dinding bahagian dalam masjid juga rosak manakala sistem pendawaian musnah terbakar 50 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 4:24 PM