GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Murni Wan Omar


AHLI perniagaan dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas kesalahan merogol pembantu rumahnya, dua tahun lalu.

Hakim Datin M Kunasundary menjatuhkan hukuman itu terhadap Sufian Sulaiman, 44, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada kes pendakwaan.

Tertuduh didakwa merogol mangsa warga Indonesia yang berusia 19 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur antara 3 hingga pagi, pada hujung Julai 2016.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuan selesai.

Oleh itu, mahkamah menaikkan jumlah wang jaminan iaitu daripada RM12,000 kepada RM25,000.

Selain itu, tertuduh diperintahkan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebanyak dua kali sebulan dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Sepanjang perbicaraan yang bermula sejak Ogos tahun lalu, 10 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hafizza Sauni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana perbuatan yang dilakukan adalah jijik dan kejam kerana mangsa hanya mahu mencari rezeki ketika datang Malaysia.

Sementara itu, peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili Sufian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap serta perlu menanggung dua isteri dan enam anak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 2:40 PM