FAIZAL meluangkan masa bersama kanak-kanak istimewa di Pavilion Kuala Lumpur
FAIZAL meluangkan masa bersama kanak-kanak istimewa di Pavilion Kuala Lumpur
Michelle Gun

Sempena kempen Terima Kasih bagi sambutan Aidilfitri, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) berkolaborasi dengan penyanyi terkenal Faizal Tahir untuk menghasilkan dokumentari muzik menerusi lagu Starfeather.

Karya ciptaan Faizal itu turut diangkat sebagai lagu tema kempen Terima Kasih tahun ini.

Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir berkata, dokumentari itu memaparkan pengalamannya mendekati kanak-kanak istimewa sebuah tadika bagi menyampaikan mesej ‘terima kasih’ kepada khalayak ramai.

“Pengalaman itu membuka mata dan hati saya supaya sentiasa bersyukur,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 39 tahun itu, usaha sedemikian memberi inspirasi dan motivasi kepada orang ramai.

“Pada masa sama, golongan istimewa ini turut memberi inspirasi kepada kita.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kanak-kanak ini kerana berkongsi detik istimewa itu,” katanya.

Kolaborasi itu menyentuh hati Faizal yang aktif dalam aktiviti kemanusiaan.

Pada mulanya, Faizal cuba mendekati kanak-kanak berkenaan yang kehilangan upaya pendengaran.

Dia sedih apabila tidak dapat berinteraksi secara langsung dengan kanak-kanak terbabit kerana tidak dapat mendengar apa yang ingin disampaikannya.

Bagaimanapun, kanak-kanak terbabit menerima kunjungan Faizal dengan hati berbuka dan memulakan langkah untuk menunjukkan cara untuk berkomunikasi dengan mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Johan Ishak berkata, dokumentari terbabit dihasilkan bagi mendidik orang ramai supaya sentiasa mengamalkan nilai baik hati dan bersyukur.

“Saban tahun, setiap organisasi menghasilkan iklan Aidilfitri menarik beserta mesej kemasyarakatan.

“Kali ini, MPTN memilih untuk berkolaborasi dengan Faizal menerusi pendekatan berbeza,” katanya.

Selain disiarkan di televisyen, dokumentari muzik Starfeather boleh disaksikan di Youtube @TV3Malaysia.

Maklumat lanjut boleh layari laman web www.xtra.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 3:00 AM