PENGARAH Imigresen Perak, Kamaluddin Ismail (kanan) warga asing dipercayai menjalankan pakej khidmat pelayan pelanggan (GRO) yang ditahan dalam tiga operasi sekitar Ipoh, semalam. FOTO L Manimaran
PENGARAH Imigresen Perak, Kamaluddin Ismail (kanan) warga asing dipercayai menjalankan pakej khidmat pelayan pelanggan (GRO) yang ditahan dalam tiga operasi sekitar Ipoh, semalam. FOTO L Manimaran
Mohd Hafizee Mohd Arop


JABATAN Imigresen Perak terpaksa memecahkan beberapa pintu bilik sebuah hotel di Ipoh, semalam, sebelum berjaya menahan 14 wanita warga asing yang dipercayai menjalankan pakej khidmat pelayan pelanggan (GRO).

Bukan setakat itu, beberapa GRO yang ditahan bersama pelanggan masing-masing didapati berada dalam keadaan separuh bogel selepas dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral itu dengan bayaran bermula RM35 hingga RM100.

Pengarahnya, Kamaluddin Ismail berkata, pihaknya menjalankan Ops Mega 2.0 bermula jam 2.30 petang hingga 7 malam di tiga lokasi sekitar Ipoh iaitu di sebuah hotel di bandar raya itu, kedai runcit di Klebang dan gerai tepi jalan di Taman Rishah.

Katanya, pihaknya berjaya menahan seramai 26 warga asing dalam ketiga-tiga operasi dijalankan secara serentak itu dan turut menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai melindungi GRO warga asing di hotel berkenaan.

Menurutnya, serbuan di hotel itu berjaya menahan seramai 19 warga asing membabitkan 14 GRO iaitu lapan Thailand, lima Indonesia serta satu Laos berusia antara 21 hingga 43 tahun dan empat lelaki Bangladesh dan seorang Nepal yang juga pelanggan turut ditahan.

"Selain itu, turut ditahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai majikan GRO berkenaan berusia 40-an atas kesalahan melindungi wanita warga asing ini.

"Bagi serbuan di sebuah kedai runcit di Klebang, empat lelaki Indonesia ditahan, manakala serbuan di gerai tepi jalan di Taman Rishah pula berjaya menahan dua lelaki Indonesia dan satu Sri Lanka," katanya dalam sidang media di Jabatan Imigresen Negeri di Meru Raya, di Ipoh, hari ini.

Kamaluddin berkata, kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke jabatan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan sebelum tindakan seterusnya diambil ke atas semua warga asing berkenaan.

Katanya, semua warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

Menurutnya, warga tempatan yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 3:57 PM