ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mencari mangsa lemas, Syed Zainol yang masih belum ditemui, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah memasuki hari keempat di Sungai Baram berhampiran Kampung Narum, Marudi. -Foto IHSAN JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT

Mohd Rizal Abdullah

MASIH tiada sebarang petunjuk mengenai pelajar GiatMara yang dikhuatiri lemas di Sungai Baram berhampiran Kampung Narum, Marudi, sejak Isnin lalu.

Mangsa, Syed Zainol Ariffin Wan Omar, 26, belum ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah memasuki hari keempat.

Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, Maureen Sim Ah Lian, berkata setakat ini, operasi masih dijalankan pihaknya bersama polis dan penduduk kampung.

“Setakat ini, tiada sebarang petunjuk mengenai mangsa, bagaimanapun semua pihak sedang bertungkus lumus bagi mengesan mangsa.

“Penduduk turut menggunakan pancing duri rotan dan jala bagi mengesan mangsa, dengan radius kawasan pencarian turut diperluaskan dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Dalam kejadian 1.20 petang tengah hari Isnin lalu, mangsa dipercayai lemas ketika berenang seorang diri di sungai berkenaan.

Difahamkan, mangsa tiba-tiba dibawa arus deras dan ‘lenyap’ dan kejadian disedari penduduk kampung berhampiran yang kemudian menghubungi pihak berkuasa memohon bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 4:35 PM