Mohd Rizal Abdullah


HANYA kerana masalah tambang, pemandu kereta sapu cedera selepas diserang dua lelaki warga Indonesia dalam kejadian di ladang sawit berhampiran Taman Negara Loagan Bunut, Marudi, pagi semalam.

Dalam kejadian pada 9 pagi itu, mangsa berusia 64 tahun cedera pada tangan dan kaki kiri selepas diserang menggunakan senjata tajam oleh kedua-dua suspek susulan pertengkaran berhubung bayaran tambang.

Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Gabriel Risut berkata, mangsa yang memandu Toyota Hilux diminta mengambil dua suspek berkenaan di Simpang Mamut sebelum dihantar ke ladang sawit berkenaan.

Bagaimanapun, setibanya di destinasi dituju, berlaku pertengkaran antara mangsa dan kedua-dua suspek, dipercayai berpunca dari rasa tidak puas hati terhadap jumlah tambang dikenakan.

"Seorang daripada suspek kemudian menyerang mangsa menggunakan pisau, manakala rakannya cuba menarik mangsa keluar dari kenderaan. Bagaimanapun, mangsa berjaya menyelamatkan diri dan terus memecut ke Klinik Kesihatan Beluru bagi mendapatkan bantuan.

"Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca dari pertikaian tambang dikenakan oleh mangsa, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Polis juga sedang giat mengesan kedua-dua suspek yang terbabit dalam kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 1:23 PM