GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob


LELAKI warga emas rebah dan disahkan meninggal dunia ketika sedang beratur bagi membuang undi di Sekolah Menengah (P) Taman Petaling, Petaling Jaya, 9.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, ketika kejadian, mangsa Lor Voon Chor, 78, sedang beratur di Saluran 1, pusat mengundi di sekolah berkenaan.

Katanya, sebaik rebah, anggota polis yang bertugas di pusat mengundi berkenaan terus menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan.

“Pasukan perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tiba 10 minit kemudian bagi memberi bantuan.

“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 9.45 pagi oleh pembantu perubatan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Zani berkata, keluarga mangsa memaklumkan mangsa mempunyai sakit jantung, kencing manis dan masalah paru-paru.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke PPUM untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 11:48 AM