GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warga emas meninggal dunia selepas dilanggar sebuah bas ketika melintas jalan di Persiaran Barat, Petaling Jaya, kelmarin.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa, A Sivalinga Rajah Chelliah, 79, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hari ini, akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu oleh pemandu bas terbabit yang berusia 43 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila bas berkenaan dalam perjalanan dari Taman Seri Manja menghala ke Amcorp Mall melanggar mangsa yang sedang melintas di kawasan pelintas jalan kaki.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke PPUM untuk menerima rawatan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia 2.19 petang tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, pemandu bas terbabit ditahan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Azirul Ikmal Mohd Nordin di talian 013-4284263 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 11:12 PM