BANDAR Johor Bahru. FOTO Arkib NSTP.
BANDAR Johor Bahru. FOTO Arkib NSTP.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kerajaan negeri akan menyusun semula 54 penempatan setinggan di sekitar bandar raya ini, yang antara penyumbang kepada masalah pencemaran sungai.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, semua penduduk terbabit yang dianggarkan berjumlah 50,000 orang akan dipindahkan ke penempatan baharu yang lebih sesuai dan tersusun.

Katanya, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam proses mengenal pasti kawasan setinggan itu dan rancangan penyusunan semula sedang diatur serta tempoh proses berlangsung akan dimaklum kelak.

"Pihak MBJB akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Pejabat Tanah dan Galian.

"Apa-apa isu yang mahu kita perjuangkan perlu kurangkan birokrasi dan kena tingkatkan kerjasama," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Johor Bersih 100 Hari di Jalan Segget hari ini.

Program dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor; Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

MBJB sebelum ini mengenal pasti penempatan setinggan turut dihuni warga asing yang menyumbang kepada pencemaran sungai dan pembuangan sampah tidak terurus di kawasan sekitar.

Antara penempatan itu termasuk Kampung Melayu Pandan, Kangkar Tebrau, Plentong, Skudai Kiri, Kampung Sri Purnama dan Kampung Bakar Batu.

Dalam usaha memberi imej lebih baik kepada bandar raya ini, Onn Hafiz berkata, MBJB bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menempatkan kira-kira 80 gelandangan di penempatan baharu

Katanya, kerajaan negeri juga mengalu-alukan pembabitan peniaga untuk menceriakan bangunan perniagaan masing-masing, khususnya premis yang sudah usang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 12:36 PM