ANGGOTA APM menenangkan pendaki wanita selepas dibawa turun, semalam. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM menenangkan pendaki wanita selepas dibawa turun, semalam. FOTO Ihsan APM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KEGIRANGAN sekumpulan 20 remaja menakluk puncak Bukit Ampang Permai di Ampang hanya sementara apabila salah seorang daripada mereka sesat ketika menuruni bukit berkenaan.

Dalam kejadian pada 9.30 malam semalam, kumpulan remaja terbabit dalam perjalanan turun selepas mendaki bukit berkenaan sejak 9 pagi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Leftenan (PA) Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pendaki wanita, 22, itu sesat ketika menuruni bukit berkenaan dipercayai akibat laluan gelap.

“Wanita itu terpisah daripada kumpulannya menyebabkan lapan anggota APM dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

“Operasi mencari dan menyelamat dijalankan di tempat mangsa dilaporkan hilang dengan bantuan petunjuk daripada rakan-rakannya.

“Mangsa berjaya ditemui kira-kira 700 meter dari lokasi dia hilang, sebelum dibawa turun dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk pemeriksaan lanjut lalu dibenarkam pulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 4:25 PM