CALON BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir, Lee Chong Leng berkempen bersama isterinya dengan menaiki beca mengelilingi pusat bandar ketika Program Abang Beca Sokong BN. FOTO NSTP/ RASUL AZLI SAMAD
CALON BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir, Lee Chong Leng berkempen bersama isterinya dengan menaiki beca mengelilingi pusat bandar ketika Program Abang Beca Sokong BN. FOTO NSTP/ RASUL AZLI SAMAD
Noor Azurin Mohd Sharif


BARISAN Nasional (BN) memberi jaminan tiada beca elektrik yang akan beroperasi di pusat tumpuan pelancongan di Banda Hilir, Melaka, jika parti itu terus diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perkara itu dijanjikan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir, Lee Chong Leng yang menyaksikan nasib sejumlah besar pengayuh beca konvensional di Melaka terus terbela.

"Saya akan pastikan di dalam kawasan Kota Melaka tidak ada beca elektrik, jika nak beca elektrik pergilah di luar (Kota Melaka)... di dalam UNESCO punya kawasan tidak akan ada.

"Saya tidak mahu nilai tradisi yang kita banggakan ini dihakis serta digantikan dengan sumber lain. Industri pelancongan akan dipertahankan dan masa depan pengayuh beca akan lebih cerah," katanya selepas sesi ramah mesra bersama kira-kira 300 pengayuh beca di Banda Hilir, di Melaka, hari ini.

Sementara itu, Kamal Fasha Amir Fasha, 74, yang sudah lebih 40 tahun menjadi pengayuh beca, berkata, dia berbangga kerana Melaka masih mampu mempertahankan perkhidmatan beca konvensional sehingga ke hari ini.

"Memang inilah punca rezeki saya sejak dahulu lagi. Anak-anak membesar dengan wang beca, sebab itu saya bersyukur kepada kerajaan negeri yang tidak pernah meminggirkan nasib kami sehingga ke hari ini.

"Jika tidak kerana mereka (kerajaan negeri) yang memelihara warisan ini, tak tahulah nasib pengayuh beca konvensional seperti kami, mungkin sudah tiada," katanya.

Sebelum ini, sekumpulan pengayuh beca di negeri ini pernah mengadakan bantahan kerana terdapat dakwaan beca elektrik akan diperkenalkan di kawasan tumpuan pelancongan di Banda Hilir.

Bagaimanapun, idea menggantikan beca konvensional kepada beca elektrik tidak pernah dikeluarkan kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 1:32 PM