FAIZAL. FOTO Nazri Abu Bakar
FAIZAL. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


SIAPA sangka kerjaya sebagai pengayuh beca di Melaka mampu memperoleh pendapatan lumayan mencecah sebanyak RM4,000 sebulan.

Begitulah rezeki yang diraih seorang remaja, Faizal Shamsuri, 15, yang menyamai pendapatan bulanan eksekutif muda lepasan ijazah sarjana muda sektor awam mahupun swasta.

Bagaimanapun, anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, secara purata pendapatannya sebanyak RM3,000 sebulan, kecuali menjelang musim perayaan dan cuti umum yang menuntutnya bekerja lebih kuat untuk meraih pendapatan lumayan.

“Walaupun pendapatan ini agak lumayan, saya terpaksa bekerja keras kerana kerjaya saya ini tidak seperti mereka yang berpendidikan tinggi dan selesa duduk di bilik berhawa dingin.

“Saya terpaksa mengerah kudrat termasuk berpanas dan berhujan bermula jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari bagi membawa pelancong bersiar-siar di sekitar Bandar Hilir dan lokasi pelancongan terkenal,” katanya ketika ditemui di bangunan merah

Stadthuys, di Bandar Hilir, Melaka hari ini.

Faizal yang sudah setahun mengayuh beca berkata, dia berpuas hati kerana pekerjaan itu mampu mendekatkan dirinya dengan pelancong sekali gus membantu memperkenalkan pelbagai tarikan bersejarah Melaka kepada warga asing.

Katanya, sebagai pengayuh beca termuda dalam kalangan lebih 300 pengayuh beca di Melaka, dia tidak janggal bersama pengayuh beca lain untuk bersama-sama keluar mencari rezeki.

“Setiap kali membawa pelancong, kadar bayaran ditetapkan antara RM25 hingga RM50 bergantung kepada jarak, masa dan laluan dipilih pelancong. Kebiasaannya, kami menggunakan trek laluan yang sama dengan rakan pengayuh beca lain,” katanya.

Ditanya siapakah yang mendorongnya menjadi pengayuh beca, Faizal berkata, bidang itu terlebih dulu dilakukan bapanya, Shamsuri Saleh menyebabkan dia tertarik untuk turut serta selepas tidak lagi bersekolah.

Katanya, bapanya banyak memberikan tunjuk ajar terutama selok-belok sebagai pengayuh beca di Melaka.

“Walaupun pada awalnya ayah kurang bersetuju dengan pilihan saya, tetapi akhirnya dia akur kerana nampak kesungguhan dan minat saya sebagai pengayuh beca.

“Saya akan kekal bekerja sebagai pengayuh beca selagi terdaya memandangkan saya tidak mempunyai pendidikan tinggi serta kemahiran lain,” katanya yang turut rapat dengan pengayuh beca tertua di Melaka, Mohamed Rusdi, 77.

Ibarat ‘datuk dan cucu’, Mohamed turut kagum dengan kesungguhan Faizal menepis rasa malu dan rendah diri semata-mata mahu mewarisi tradisi kerjaya sebagai pengayuh beca di Melaka.

Sementara itu, Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Mansor Sudin, berkata Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak pernah mengeluarkan sebarang permit dan lesen kepada pengayuh beca di bawah usia 18 tahun.

“Berdasarkan rekod kami, tiada pengayuh beca di bawah usia 18 tahun. Mungkin, dalam kes ini, remaja berkenaan ingin membantu ayahnya atau keluarganya pada waktu lapang.

“MBMB sendiri pernah mengeluarkan kompaun denda terhadap pengayuh beca yang tiada permit lesen termasuk di bawah umur. Syarat kebenaran lesen adalah jelas iaitu individu mestilah berusia 18 tahun ke atas," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, MBMB terpaksa mengambil tindakan kompaun terhadap mana-mana pengayuh beca yang melanggar syarat ditetapkan termasuk individu bawah umur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 5:34 PM