KERETA tenggiling yang menjadi tarikan terbaru di Melaka.
KERETA tenggiling yang menjadi tarikan terbaru di Melaka.
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Belum selesai isu motosikal dan basikal elektrik beroperasi di kawasan tumpuan pelancong di sekitar bandar raya ini, muncul pula kereta kayuh dikenali kereta tenggiling yang dilihat mengancam pendapatan pengusaha beca di kawasan berkenaan.

Kehadiran enam unit kereta tenggiling dihiasi lampu itu ternyata tidak disenangi, terutama kepada golongan pengayuh beca berlesen di kawasan berkenaan.

Difahamkan, semua kenderaan itu yang tiba di kawasan pelancongan di Bandar Hilir, di sini, menarik perhatian pengayuh beca yang curiga dengan kehadirannya.

Selepas tular di media sosial, wartawan yang melakukan tinjauan mendapati, enam kereta itu tidak beroperasi dan diletakkan di tempat letak kenderaan awam di belakang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dalam keadaan bertutup.

Kakitangan syarikat Karyafida yang bertanggungjawab membawa kereta kayuh itu Azwadi Azmin berkata, pihaknya diminta pihak pengurusan sebuah kompleks membeli-belah untuk menghantar kenderaan itu.

“Memang ini untuk kegunaan sewaan di kawasan kompleks membeli-belah itu dan saya difahamkan yang mereka mengenakan bayaran RM35 kepada pengunjung sekali naik,” katanya

Pengayuh beca Norzaini Hamzah berkata, kehadiran kereta tenggiling itu boleh menyebabkan pendapatan pengusaha beca berlesen di kawasan sekitar terjejas.

“Selepas kereta ini diturunkan dari lori, ramai rakan pengayuh beca bertanya kenapa berada di kawasan itu,” katanya.

Pengayuh beca Mohd Razif Othmawi berkata, persatuan beca di negeri ini tiada masalah dengan kehadiran tarikan baru pelancongan itu, namun pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memantau jika beroperasi secara sah atau sebaliknya.

“Kami beroperasi perlu memohon lesen. Jadi, mengapa boleh ada yang lain-lain (kenderaan elektrik),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:51 AM