Pak Wan membaca kitab agama sementara menunggu pelanggan di Bandar Hilir. FOTO Nazri Abu Bakar
Pak Wan membaca kitab agama sementara menunggu pelanggan di Bandar Hilir. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


WARGA emas, Mohamed Rusdi, 77, tetap tabah menarik beca, meskipun sudah lebih 50 tahun berkayuh demi mencari rezeki halal untuk diri dan keluarga.

Penarik beca tertua di Melaka itu berkata, dengan berkayuh beca, dia meraih pendapatan bukan sahaja untuk makan minum, malah menanggung kos perubatannya.

Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Wan berkata, setiap subuh, dia sudah keluar mengayuh beca dan mula mengambil penumpang di Stadhuys Bandar Hilir, bermula 9 pagi hingga 6 petang.

Menurutnya, selama bergelar pengayuh beca, tiada istilah cuti dalam hidupnya untuk membawa pelanggan, baik pelancong tempatan mahupun luar negara, ke destinasi yang diingini.

Sekalipun usianya sudah lanjut, katanya, dia tidak berdepan masalah berkayuh lebih dua kilometer setiap pusingan, mengelilingi kawasan pelancongan Bandar Hilir.

“Biasalah ada waktunya banyak pusingan dan ada masanya memadai satu atau dua pusingan, atau tidak ada langsung.

“Inilah lumrah penarik beca dan rezeki masing-masing sudah ditetapkan. Saya juga tidak bimbang persaingan dengan adanya lebih 300 penarik beca yang lain,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Begitupun, Pak Wan mengakui kadangkala sukar mendapatkan pelanggan berikutan persaingan sesama pengayuh beca dan masa yang terluang itu diisi dengan membaca kitab agama.

Setiap hari, penarik beca paling ‘otai’ itu berkata, dia akan membawa sebuah kitab tulisan jawi untuk dibaca bagi menambah ilmu agama.

“Saya memiliki lebih 10 kitab yang disimpan di rumah yang bukan saja dibaca untuk mengisi masa terluang, tetapi menjadi panduan kehidupan sebelum meninggal dunia,” katanya yang menetap di Klebang.

Sebagai penarik beca bergelar warga emas, Pak Wan berkata, berkayuh pada usia seperti itu perlu disesuaikan dengan faktor umur dan tidak perlu berlagak seperti orang muda.

Menurutnya, prinsip itulah dipegangnya sehingga mampu bertahan dan tidak mengalami kecederaan tulang atau kekejangan otot.

Katanya, antara pengalaman menarik sepanjang dia menjadi penarik beca termasuk dibayar lebih daripada harga sepatutnya, sementara pengalaman pahit pula pelanggan ‘lari’ selepas sampai ke destinasi.

“Ada juga yang berjanji untuk membayar berikutan tiada wang kecil namun selepas menunggu hampir dua jam kelibat mereka tidak kelihatan langsung selepas itu.

“Setakat ini saya bersyukur tidak mengalami masalah kesihatan cuma batuk atau selesema,” katanya yang berkebolehan bertutur dalam berbahasa Inggeris dan Mandarin.

Pak Wan turut mengakui tuahnya bertahan sebagai pengayuh beca disebabkan sokongan tidak berbelah bahagi isteri Salmah Mohd, 73, serta lima anak yang masing-masing sudah berkeluarga, kerana tidak pernah menghalang minat dan hobi mengayuh beca itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 9:53 PM