WAN Azizah (tengah) bergambar bersama Nik Nazmi (dua dari kanan), Fahmi (kiri), Raymond (kanan) dan Sandrea pada majlis pengumuman calon AMK Fasa Pertama di Setiawangsa, malam tadi. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
WAN Azizah (tengah) bergambar bersama Nik Nazmi (dua dari kanan), Fahmi (kiri), Raymond (kanan) dan Sandrea pada majlis pengumuman calon AMK Fasa Pertama di Setiawangsa, malam tadi. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Fahmy Azril Rosli dan Farhana Syed Nokman


PRESIDEN PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan logo parti itu sebagai logo rasmi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Ia antara rancangan jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak memberi kelulusan kepada pendaftaran PH sebagai sebuah parti gabungan.

Berikutan itu, Wan Azizah yang juga Presiden PH amat gembira dengan langkah terbabit jika logo PKR dipilih.

“Saya amat gembira jika guna logo PKR (untuk logo rasmi Pakatan Harapan). Insya-Allah," katanya ringkas pada sidang media selepas mengumumkan calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) Fasa Pertama di perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Setiawangsa, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang memetik sumber, mendakwa PH mungkin akan menggunakan logo PKR pada PRU-14.

Sumber dipetik sebagai berkata, perkara itu sedang diusahakan dan keputusan itu dijangka dimuktamadkan sejurus parlimen dibubarkan.

Terdahulu, Wan Azizah mengumumkan empat calon muda untuk dipertaruhkan pada PRU akan datang.

Mereka adalah Naib Ketua AMK Perak Sandrea Ng, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, Ketua AMK Sabah Raymond Ahuar dan Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ketika ditanya kerusi calon berkenaan bakal bertanding, Wan Azizah berkata, ia belum diputuskan dan dijangka dimuktamad selepas parlimen dibubarkan.

Katanya, langkah yang diambil itu bagi menangkis tanggapan bahawa PKR hanya untuk orang lama sahaja, sedangkan mereka mempunyai pelapis untuk diangkat sebagai pemimpin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 12:33 AM