Anggota bomba dan penyelamat membantu menyelamatkan mangsa serta memadamkan kebakaran kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba dan penyelamat membantu menyelamatkan mangsa serta memadamkan kebakaran kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


LELAKI maut selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pikap di Kilometer 76, Jalan Kuching-Sri Aman, di Serian, malam tadi.

Mangsa, Thomas Inggol Unggau, 42, yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di leher dan kaki.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu berlaku apabila kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mangsa bersama dua rakannya dari arah Serian tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Pada masa yang sama, sebuah pikap jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berusia 30 tahun datang dari arah Sri Aman gagal mengelak kereta yang dinaiki mangsa yang terbabas, lalu berlaku pertembungan.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, kereta Proton Saga terbabit terbakar namun pemandu serta dua penumpangnya berjaya dikeluarkan oleh orang awam.

“Pegawai RELA yang memandu Toyota Hilux dan pemandu kereta Proton Saga itu yang berusia 34 tahun mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi penumpang kereta yang berusia 17 tahun patah kedua-dua kaki.

“Tiga mangsa yang cedera itu dibawa ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya.

Alexson berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 1:43 PM