SEBAHAGIAN peralatan yang dirampas daripada ahli kumpulan ‘Pick Ho’. FOTO Ihsan Polis
SEBAHAGIAN peralatan yang dirampas daripada ahli kumpulan ‘Pick Ho’. FOTO Ihsan Polis
Mohamad Fahd Rahmat


EMPAT ahli kumpulan ‘Pick Ho’ yang aktif dalam kegiatan samun dan pecah rumah dicekup polis di sebuah inap desa Kampung Merdeka, di Batu Pahat, hari ini.

Pada serbuan 6.30 pagi itu, suspek yang berusia 43 hingga 59 tahun ditahan ketika sedang khayal dipercayai selepas menghisap syabu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, susulan penanahan suspek, pihaknya percaya dapat menyelesaikan sembilan kes samun dengan anggaran kerugian RM 133,400.

Beliau berkata, polis turut merampas dua kereta, beberapa senjata dan peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah berkenaan.

"Kita percaya suspek terbabit dalam lapan pecah rumah di Batu Pahat dan satu kes di Kluang,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, modus operandi ahli kumpulan ini adalah melakukan jenayah secara berkumpulan dan menyasarkan rumah keluarga Cina yang besar, antara 6 hingga 7.30 pagi.

“Suspek menunggu penghuni rumah membuka pintu rumah dan terus menyerbu masuk sebelum mengikat mangsa dan melakukan samun.

"Bagi rumah yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) suspek melarikan peralatan dekoder bagi mengelak identiti mereka dikenal pasti," katanya

Abdul Wahib berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 April.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 11:45 PM