ANGGOTA bomba membantu penuntut Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan yang cedera selepas terjatuh ke dalam gua ketika sedang mendaki di Gua Bama Relung, Kuala Lipis, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membantu penuntut Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan yang cedera selepas terjatuh ke dalam gua ketika sedang mendaki di Gua Bama Relung, Kuala Lipis, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PENUNTUT Tahun Dua Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan cedera selepas terjatuh ke dalam gua ketika sedang mendaki di kawasan Gua Bama Relung, Kuala Lipis, hari ini.

Mangsa Shim Li Shan, 19, dikatakan sedang menyiapkan tugasan berkaitan kawasan gua terbabit sebelum terjatuh dari ketinggian 10 meter.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.02 pagi sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis bergegas ke lokasi bagi melakukan kerja menyelamat dan membawa keluar mangsa.

“Mangsa berjaya dibawa keluar pada 4 petang dan tidak mengalami kecederaan serius.

“Wanita berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, mangsa bersama beberapa rakannya masuk ke kawasan gua pada 8 pagi sebelum dia terjatuh kerana tidak menyedari terdapat lubang terowong di kawasan pendakian itu.

Katanya, keadaan mangsa kini stabil dan kejadian dimaklumkan kepada pengurusan institusi pengajian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 6:12 PM