BOT yang dinaiki Sally bersama rakannya ketika memancing.
BOT yang dinaiki Sally bersama rakannya ketika memancing.
HM Digital

Labuan: “Saya harap dia selamat walaupun sudah lima hari hilang,” kata Asima Juparin, 30-an, kakak kepada Sally, 25, yang hilang di perairan Pulau Rusukan Besar di sini, Isnin lalu.

Sally hilang selepas cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke laut apabila bot dinaikinya bersama seorang rakan terbakar sebelum dia dihanyutkan arus ketika berenang ke Pulau Rusukan Besar.

Menurut Asima, dia sempat bertemu adiknya di rumah pada Ahad lalu, sebelum Sally beritahu mahu keluar memancing bersama rakannya.

“Biasanya dia akan bermalam di laut sebelum pulang ke rumah keesokan harinya, namun kali ini sudah beberapa hari dia tidak ditemui,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Asima berkata, dia sendiri turut turun ke laut menyertai ahli keluarga mencari adiknya yang hilang tetapi masih tidak berhasil.

“Saya harap dia selamat kerana dia sudah biasa dengan keadaan laut ketika menetap di Semporna sebelum ini.

“Biasanya kalau orang lemas, tentu jasad timbul selepas beberapa hari tetapi adik saya sehingga kini tidak ditemui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 5:53 AM