SALLY Nur Dinie  Lim mengambil inisiatif membantu calon SPM 2020 yang terkesan akibat banjir.
SALLY Nur Dinie Lim mengambil inisiatif membantu calon SPM 2020 yang terkesan akibat banjir.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Prihatin dengan nasib calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang terkesan akibat banjir mendorong Sally Nur Dinie Lim mengambil inisiatif mengumpul buku rujukan terpakai untuk disumbangkan kepada mereka.

Sally, 18, yang menetap di Puchong, Selangor tidak berseorangan melakukannya tetapi dibantu tiga lagi rakan sebaya iaitu Arfa Muhaimin Mazlisyam, Fara Atira Khairul Azhar dan Ainur Adleena Zaharin.

Menurut Sally, idea itu tercetus selepas melihat banyak rungutan di Twitter daripada warganet berhubung Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

"Ketika itu, saya lihat ramai warganet meluahkan rungutan dan kemarahan mereka dengan beberapa tindakan KPM kerana membuat keputusan pada saat akhir.

"Namun, kebanyakan mereka sekadar meluahkan perasaan saja di Twitter tanpa memberi jalan penyelesaian atau cadangan kepada KPM untuk melakukan penambahbaikan.

"Ia membuatkan saya terfikir ada baiknya mengajak warganet berhenti merungut sebaliknya cari penyelesaian khususnya bagi membantu calon SPM yang terkesan kerana banyak buku mereka rosak dan dihanyutkan banjir," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia dan rakan yang terbabit sama berusaha membuat hebahan di Twitter bagi mencari individu yang berminat menderma buku rujukan terpakai bermula 7 Januari lalu.

Katanya, dalam tempoh tujuh jam, mereka dapat mengumpul 700 buku hasil sumbangan warganet.

"Agak sukar untuk mengumpul dana dan menguruskan wang diterima bagi membantu mangsa memandangkan saya serta rakan masih muda.

"Jadi, kami buka peluang sesiapa yang berminat untuk menderma buku dan cuba juga cari 'senior untuk menyumbang.

"Alhamdulillah, ramai yang sudi membantu malah ada yang sanggup menghantar buku ke rumah saya selain membuat penghantaran melalui pos," katanya.

Sally berkata, semua buku yang disumbangkan itu sudah diagihkan kepada penerima terutamanya mangsa banjir di Pahang dengan bantuan NGO.

"Saya gembira dan berterima kasih kepada semua yang membantu menjayakan inisiatif ini, semoga anda semua dimurahkan rezeki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 4:51 PM