Dr Mahathir pada sidang media untuk memohon maaf berikutan kata-katanya yang mengguris masyarakat India. FOTO Owee Ah Chun
Dr Mahathir pada sidang media untuk memohon maaf berikutan kata-katanya yang mengguris masyarakat India. FOTO Owee Ah Chun
Fahmy Azril Rosli dan Farhana Syed Nokman

SETELAH dikecam pelbagai pihak termasuk Pengerusi Hak Asasi Manusia Nasional (Hakam), Datuk S Ambiga dan masyarakat India di negara ini, Tun Dr Mahathir Mohamad tiada pilihan akhirnya memohon maaf kepada komuniti itu kerana menggunakan istilah menghina dan memperlekehkan kaum itu.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa tidak bermaksud menghina sesiapa kerana istilah berkenaan sering digunakan ketika zaman kanak-kanaknya.

“Saya mahu meminta maaf kepada komuniti India kerana menggunakan istilah itu. Saya tidak bermaksud untuk menghina sesiapa.

“Ketika saya budak-budak, kami selalu menggunakan perkataan itu. Namun sekarang ini perkataan itu dianggap satu penghinaan.

“Sekali lagi, saya memohon maaf kerana menimbulkan masalah ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Yayasan Selangor di Petaling Jaya, semalam.

Sabtu lalu, Dr Mahathir menggunakan istilah menghina dalam ceramah di Muar, Johor, yang mengguris perasaan dan memperlekehkan martabat masyarakat India di negara ini.

Tindakan beliau itu mengundang reaksi dan kemarahan pelbagai pihak yang menggesa Dr Mahathir pemimpin pembangkang itu memohon maaf.

Pada 2016, Dr Mahathir pernah menggunakan istilah sama dan dikecam hebat pelbagai pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 5:41 PM