Petugas kesihatan mencukupi.
Petugas kesihatan mencukupi.
Hayati Ibrahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai kapasiti sumber manusia yang mencukupi bagi menangani penularan wabak Covid-19, termasuk tambahan sebanyak 2,000 lagi petugas kesihatan kontrak di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE).

Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kementerian juga akan terus menggerakkan sumber manusia ke fasiliti kesihatan yang lebih memerlukan.

"Kementerian turut dibantu doktor dan pakar swasta yang diambil menerusi kaedah pembelian perkhidmatan (contract for service) untuk berkhidmat di fasiliti kesihatan.

"Selain itu, kementerian turut mempunyai 1,016 Klinik Kesihatan (KK), 88 Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA), 1,783 Klinik Desa dan 279 Klinik Komuniti di seluruh negara," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dzulkifli Ahmad (PH-Kuala Selangor) bertanya apa langkah diambil kerajaan sekiranya gelombang kedua Covid-19 berlaku, dan apakah kementerian sudah bersedia dari segi kelengkapan logistik, tenaga kerja dan katil untuk pesakit.

Pada masa sama, Aaron berkata, sebanyak 710 KK turut menyediakan perkhidmatan makmal, yang mana 553 mempunyai 'bio-safety cabinet' (BSC) yang kini berkeupayaan untuk menjalankan ujian makmal Covid-19 menggunakan kaedah 'rapid test kit antigen' (RTK-Ag), bagi pengesanan awal kes.

Katanya, sebanyak 486 KK dikenal pasti sebagai pusat persampelan Covid-19, sebagai sebahagian pengurusan kejadian wabak di lapangan.

"Bagi rawatan Covid-19, sebanyak 40 hospital termasuk dua hospital universiti dikenal pasti sebagai Hospital Covid-19 dengan kapasiti maksimum sebanyak 5,500 katil.

"Pada masa sama, terdapat 26 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah dengan kapasiti 1,389 katil bagi merawat pesakit yang mempunyai gejala ringan dan stabil.

"Secara keseluruhan sehingga kini, sebanyak 6,889 katil disediakan untuk menempatkan pesakit Covid-19 dan kadar penggunaan katil setakat ini adalah kurang dari 15 peratus," katanya.

Selain itu, Aaron berkata, terdapat 430 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dikhaskan untuk pesakit Covid-19 di 40 hospital berkenaan dengan kadar penggunaan semasa tidak melebihi 5 peratus.

Beliau berkata, terdapat 1,364 ventilator di Hospital Covid-19 dan kadar penggunaan ventilator adalah sekitar 40 peratus (termasuk untuk pesakit bukan Covid-19).

"Setakat ini, terdapat 58 makmal di seluruh negara yang boleh menjalankan ujian pengesanan Covid-19, terdiri dari 24 makmal KKM, 18 makmal swasta; 13 makmal hospital universiti, dua makmal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebuah makmal Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

"Rangkaian makmal ini mampu menyediakan kapasiti maksimum sehingga 38,600 ujian sehari," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 1:45 PM