KOMPRESOR pendingin hawa yang dicuri di sebuah rumah di Taman Machang Bubok, Bukit Mertajam, kelmarin. Gambar kecil, Nik Ros Azhan. FOTO ihsan polis
KOMPRESOR pendingin hawa yang dicuri di sebuah rumah di Taman Machang Bubok, Bukit Mertajam, kelmarin. Gambar kecil, Nik Ros Azhan. FOTO ihsan polis
Hadzlihady Hassan


BELUM sempat jual sudah kena tahan. Itu yang berlaku kepada seorang penyangak apabila diberkas penduduk ketika leka mencuri kompresor pendingin hawa di sebuah rumah di Taman Machang Bubok, Bukit Mertajam, kelmarin.

Malah, lelaki terbabit boleh dianggap berani kerana dia dengan selamba mencuri kompresor terbabit pada siang hari.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, suspek berusia 21 tahun langsung tidak menyedari perbuatannya meleraikan komponen pendingin hawa berkenaan diperhatikan jiran mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek kemudian ditahan penduduk sebelum dia diserahkan kepada polis.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau kerana kesalahan dadah dan jenayah.

“Kami percaya suspek mencuri komponen terbabit untuk dijual dan menggunakan wang berkenaan bagi membeli dadah.

“Setakat ini suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan kami sedang menyiasat sama ada dia bergerak sendirian atau ada individu lain bersamanya,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis berterima kasih kepada penduduk yang prihatin dengan kejadian itu sehingga mereka berjaya menahan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 5:19 PM