PENDUDUK setempat di Golah, Shabwah, Yaman mula menerima bekalan air bersih secukupnya selepas projek fasa pertama sumbangan rakyat Malaysia berjaya dilaksanakan.
PENDUDUK setempat di Golah, Shabwah, Yaman mula menerima bekalan air bersih secukupnya selepas projek fasa pertama sumbangan rakyat Malaysia berjaya dilaksanakan.
Nor Akmar Samudin

Kuala Lumpur: Hampir 14,000 penduduk dan beberapa sekolah serta masjid memperoleh manfaat apabila Malaysian Relief Agency (MRA) dan rakan pelaksana NGO tempatan di Yaman, The Charitable Society For Social Welfare (CSSW) berjaya melaksanakan projek pam air melalui kuasa solar di Kawasan Al-Saeed, Golah dan Souq Al-Qadeem di Wilayah Shabwah.

Pada masa sama, MRA berhasrat untuk membangunkan 10 pam air berkuasa solar di seluruh negara itu yang menelan belanja hampir RM2.5 juta di kawasan yang memerlukan air dengan segera.

Menurut Presiden MRA Dr Mohd Daud Sulaiman, yang mengetuai misi kemanusiaan MRA ke negara itu, antara masalah besar di Yaman kini adalah isu air kerana kebanyakan sumber air sebelum ini hancur akibat peperangan dan mereka sangat memerlukan bantuan air ketika ini.

Kata Dr Mohd Daud, melalui modul Pembangunan Komuniti Ta’dib, wakil komuniti yang terdiri daripada ketua kabilah, pemimpin tempatan, guru dan imam diberi latihan mengenai proses perjalanan projek itu agar semua pihak dapat memanfaatkannya.

“Pembangunan Komuniti Ta’dib ialah satu modul khas yang dibina MRA untuk mendidik penerima memaksimumkan projek itu secara berintegriti dan mempunyai pelan masa hadapan. Saya berharap mereka dapat menggunakan sumbangan pam itu semaksimum mungkin untuk kegunaan seharian,” katanya.

Turut serta dalam misi berkenaan, Pengarah Latihan dan Pembangunan MRA Mohd Rezaidi Ishak, Eksekutif Operasi Antarabangsa MRA Mohd Fadhil Baharudin dan Koordinator Projek Yaman MRA Mohd Lutfi Hafifi Japili.

Sehubungan itu, MRA menyeru rakyat Malaysia yang prihatin terhadap penderitaan rakyat Yemen agar menyokong dan menyumbang ke akaun CIMB Bank 8600059478 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation dan boleh dihubungi di talian 03-91744672.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 9:46 AM