MUHAMMAD Faizul Azman maut di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditunggang merempuh belakang lori penyelenggaraan DBKL di Jalan Bangsar, semalam.
MUHAMMAD Faizul Azman maut di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditunggang merempuh belakang lori penyelenggaraan DBKL di Jalan Bangsar, semalam.
Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Penunggang motosikal maut apabila melanggar bucu kiri bahagian belakang lori penyelenggaraan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melakukan kerja siraman pokok di Jalan Bangsar di sini, jam 11.50 pagi, semalam.

Mangsa, Muhammad Faizul Azman Muhammad Fuart, 21, yang menunggang motosikal bersendirian meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di leher dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang di lorong paling kanan laluan tiga lorong dari pusat bandar ke Pantai Dalam.

Katanya, lori DBKL pula bergerak perlahan di lorong kanan untuk melakukan kerja siraman.

“Mangsa dipercayai tidak menyedari lori DBKL bergerak perlahan dan cuba mengelak, namun terlanggar bucu kiri belakang kenderaan itu.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke tengah jalan dan parah di leher serta badan,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 4:49 AM