Muhammad Yusri Muzamir


POLIS menahan warga emas kerana disyaki memandu kereta secara melawan arus, di kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini, kira-kira 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Nor berkata, warga emas berusia 76 tahun itu dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Ria Murni menghala ke Taman Intan, Sungai Petani, Kedah.

Katanya, suspek dikatakan tidak ingat laluan, dipercayai akibat nyanyuk dan sesat hingga ke kawasan BORR sebelum berpatah balik menghala ke Perai, Pulau Pinang secara melawan arus dengan rakaman videonya tular di laman sosial, sejak petang tadi.

"Berdasarkan pergerakan dipaparkan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) konsesi BORR, suspek dikatakan memandu secara melawan arus dari Kilometer (KM) 7.45 lebuh raya berkenaan.

"Rakaman suspek melawan arus hanya dapat dikenal pasti dari KM 7.45 dan KM 3 - Jambatan Perai. Bagaimanapun, lokasi sebenar dia membuat pusingan U tidak dapat dipastikan kerana tiada maklumat diperoleh daripada plaza Tol Bagan Ajam.

"Suspek kemudian memberhentikan keretanya ketika tiba di Tol Perai, sebelum dia dipukul sekumpulan penunggang motosikal dengan kes pergaduhan itu disiasat polis di Daerah Seberang Perai Tengah," katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.

Beliau berkata, semakan ke atas suspek mendapati dia tidak memiliki sebarang rekod saman trafik, selain turut dibawa ke Hospital Seberang Jaya bagi menjalani beberapa ujian berkaitan.

"Suspek menjalani ujian CT scan bagi mengenal pasti kesahihan penyakit pelupa atau nyanyuk, selain sampel darahnya turut diambil untuk ujian alkohol.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 11:16 PM